DEMOKRASI moden Barat berubah daripada konsep demokrasi purba ‘Vox populi, vox dei’ (Suara rakyat ialah suara Tuhan), sebenarnya banyak dipengaruhi fiqh politik Islam yang berkonsepkan syura, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, perkara itu khususnya dalam aspek pemilihan ketua negara dan pentadbiran selepas kewafatan Rasulullah SAW ketika era kepimpinan empat Khalifah yang adil pada zaman Umawiyyah.
“Namun, konsep sekularisme yang memisahkan politik daripada agama dari sudut aqidah dan akhlaknya menjadikan demokrasi itu semakin tempang.
“Sehinggakan, keadaan tersebut memaksa rakyat menjadi Pak Pandir yang disebutkan dalam cerita lucu orang Melayu,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas di laman Facebooknya, hari ini.
Menurutnya, dalam cerita panjang Pak Pandir yang pernah dibaca ketika persekolahan peringkat rendah dahulu, terdapat satu peristiwa Pak Pandir menyeberang alur sungai melalui sebatang titi kayu yang reput.
“Hal ini demikian kerana, dia melihat betapa ramainya semut yang meniti titi kayu itu. Kata Pak Pandir: ‘Kalau semut yang ramai jumlahnya boleh meniti kayu itu, aku yang hanya seorang sahaja pasti boleh menitinya juga’.
“Akhirnya, Pak Pandir jatuh ke dalam sungai lalu badannya basah kuyup kerana kayu yang dipijaknya patah akibat tidak dapat menahan badan Pak Pandir yang lebih berat berkali ganda daripada semut yang ramai,” katanya.
Abdul Hadi berkata, begitulah demokrasi moden yang dicemari dengan rasuah, politik wang, pembohongan sewaktu berkempen yang menggoda suara majoriti masyarakat yang tidak berakal sempurna dan tidak berilmu.
Menurutnya, mereka dikerah menjadi penyokong dan pengundi berslogankan ‘suara rakyat, suara Tuhan’ atau ‘suara rakyat, suara keramat’
“Islam menegaskan betapa memilih pemimpin menjadi suatu perkara yang akan dipersoalkan pada Hari Kiamat kelak,” katanya. – Malaysiapost

