AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah vesel yang disyaki menceroboh dan mencuri di pelantar minyak tidak berpenghuni di barat laut Tanjung Kidurong, Bintulu jam 12.05 tengah hari Khamis lalu.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus, berkata tangkapan dibuat menerusi Op Pelantar Merah yang dilancarkan bagi membanteras dan mengekang pencerobohan pelantar tidak berpenghuni.
Menurutnya, Maritim Malaysia menerima aduan daripada operator industri cari gali minyak dan gas berkaitan aktiviti pencerobohan oleh bot yang disyaki nelayan asing di pelantar tidak berpenghuni.

Beliau berkata, penceroboh merosakkan peralatan serta mencuri barangan di atas pelantar berkenaan dan sehubungan itu, satu operasi khusus dilancarkan dengan mengatur gerak aset-aset laut iaitu KM Arau dan pesawat udara AW139.
“Semasa KM Arau sedang melaksanakan operasi di sekitar perairan Bintulu, telah menerima maklumat berkaitan aktiviti pencerobohan ke atas pelantar minyak tidak berpenghuni oleh vesel yang tidak dikenali.
“Sebuah vesel nelayan tanpa nombor pendaftaran dikesan sedang bergerak dalam keadaan yang mencurigakan sekitar jam 10.30 pagi dari sebuah pelantar yang tidak berpenghuni di perairan Bintulu.
“Vesel berkenaan dikejar dalam tempoh hampir dua jam sebelum berjaya dipintas serta diberhentikan bagi tujuan pemeriksaan dan penggeledahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan tujuh kru termasuk tekong kesemuanya lelaki warga asing berumur 22 tahun hingga 40 tahun dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.
“Pihak penguat kuasa turut menemui beberapa peralatan milik pelantar minyak yang dilaporkan hilang seperti kabel, pakaian coverall, selimut, telefon satelit, radio serta jaket keselamatan di atas vesel yang disyaki dicuri dari pelantar minyak.
“Siasatan awal mendapati kesemua tujuh suspek yang ditahan dipercayai berasal dari negara jiran,” katanya.
Zin Azman berkata, kesemua kru, vesel serta hasil rampasan kemudian ditahan dan diiringi ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan kerana disyaki mencuri dan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (AKTA 298) kerana menceroboh pelantar.
“Aktiviti pencerobohan dan vandalism oleh suspek ke atas peralatan logistik, teknikal, mesin serta barangan lain telah menjejaskan operasi pelantar.
“Memotong dan mencuri kabel sumber tenaga dan perhubungan telah memberikan kesan yang besar kepada operasi dan produksi rantaian pelantar.
“Situasi ini juga memberi kesan kepada operator dan pelabur antarabangsa yang menjalankan operasi cari gali minyak dan gas di perairan negara. Secara langsung ia memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – Malaysiapost
Kredit foto: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia

