KERAJAAN mengarahkan semua urusan negara melibatkan luar negara termasuk surat-menyurat mesti menggunakan Bahasa Melayu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan itu telah dikeluarkan khususnya kepada pusat yang melibatkan luar negara.
Malah, Ismail Sabri turut memaklumkan surat yang dihantar beliau kepada pemimpin dunia juga menggunakan Bahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa Inggeris sebagai lampiran.
“Saya ingin berkongsikan arahan telah dikeluarkan bahawa semua pusat yang melibatkan ke luar negara termasuk surat menyurat mesti menggunakan Bahasa Melayu.
“Surat yang saya hantar kepada pemimpin-pemimpin dunia juga dalam Bahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di Kuala Lumpur hari ini.
Ismail Sabri berkata, beliau juga telah memulakan rundingan dua hala menggunakan Bahasa Melayu dan tidak ada cacatnya rundingan tersebut.
“Persidangan juga menggunakan Bahasa Melayu sewaktu Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat bersama dengan Presiden Amerika, saya juga menggunakan Bahasa Melayu.
“Mesej yang saya sampaikan jelas diterima Presiden Amerika walaupun saya berbahasa Melayu,” katanya.
Beliau turut menegaskan pentingnya semua sektor menggunakan Bahasa Melayu dengan seluas-luasnya kerana ia merupakan bahasa urusan rasmi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Awam.
“Perluasan penggunaannya hendaklah dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.
“Jadikanlah peribahasa “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” sebagai pegangan kerana cara itu barulah bahasa Melayu benar-benar boleh dijadikan alat perpaduan negara,” katanya. – Malaysiapost

