DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong seruan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri supaya Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menguasai industri penternakan ayam untuk menangani isu bekalan dan harga ayam.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno itu berkata, cadangan agar Malaysia mewujudkan zon kekal pengeluaran ayam bagi menstabilkan harga dan menjamin bekalan ayam juga harus dipertimbangkan.
Menurutnya, penyelesaian jangka panjang itu bukan hanya dikatakan menjimatkan banyak, malah mengekalkan kadar kompetitif pengeluaran ayam untuk rakyat Malaysia.
“Persatuan penternak ayam mendakwa telah mengemukakan isu bekalan ayam kepada kementerian berkaitan sejak pandemik bermula.
“Termasuk berhubung harga bekalan melonjak tinggi di luar negara sekaligus membebankan pengimportannya ke negara ini. Begitu juga perihal penternak tempatan dibebani kenaikan kos dedak empat kali naik harga dalam tempoh 10 bulan.
“Permasalahan yang diketengahkan itu bagaimanapun didakwa tidak diselesaikan secara serius oleh kementerian yang berkenaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas mengenai isu bekalan ayam yang ini dikatakan terputus hingga menyukarkan pengguna untuk mendapatkannya.
Ahmad Zahid berkata, selain daripada isu kenaikan harga bekalan ayam dan dedak, terdapat dakwaan beberapa syarikat-syarikat penternak ayam bertindak menghentikan operasi ladang mereka.
Menurutnya, pemberhentian operasi ladang itu dikatakan bagi ‘memboikot’ tindakan lambat kerajaan membayar subsidi harga ayam 60 sen.
“Begitu begini dakwaan, alasan dan hujah dikemukakan oleh pihak-pihak terlibat dalam bekalan ayam, akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat.
“Kini rakyat berdepan kesukaran mendapatkan bekalan ayam dan harganya yang tinggi. Golongan peniaga tentuya lebih terbeban.
“Paling dikhuatiri kekurangan bekalan ayam akan menyebabkan harga ikan terus meningkat apabila permintaannya pula bertambah,” katanya.
Beliau berkata, isu berhubung bekalan ayam sudah lama diketahui sejak pandemik, tetapi belum terlihat mekanisme yang efisien untuk berdepan isu tersebut.
“Implikasi permasalahan bekalan ayam tentu tidak begitu teruk jika kementerian berkaitan bersama penternak telah mencapai titik persefahaman sebelum ini,” katanya. – Malaysiapost

