Etika pakaian: Pendapat Koo Ham bersifat dangkal, tidak bertanggungjawab – Cuepacs

0
2
Presiden CUEPECS, Adnan Mat. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpandangan kenyataan Ahli Parlimen DAP, Ngeh Koo Ham berhubung etika berpakaian yang ditetapkan kepada orang awam ketika berurusan dengan jabatan atau agensi kerajaan, adalah satu pendapat yang bersifat dangkal dan tidak bertanggungjawab.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya mengambil perhatian serius mengenai kenyataan dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Beruas itu.

Beliau berkata, sebagai seorang wakil rakyat, Koo Ham sewajarnya bersama-sama dengan perkhidmatan awam menasihatkan orang ramai untuk lebih bersopan dalam etika berpakaian bagi menjaga keharmonian semua pihak.

“Cuepacs berpandangan peraturan yang dikeluarkan oleh setiap ketua jabatan dalam aspek etika berpakaian adalah suatu yang wajar dipraktikkan oleh semua pihak yang berurusan dengan mana-mana organisasi tidak kira swasta mahupun jabatan kerajaan.

“Tidak wajar untuk beliau memberikan contoh seorang petani yang berseluar pendek, Orang Asli yang memakai pakaian tradisional atau orang miskin yang tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian yang sopan kerana Cuepacs yakin setiap warga Malaysia mengetahui etika dalam kehidupan dan tidak akan sesekali melanggarnya dengan sengaja.

“Contoh ini sebenarnya seolah-olah menghina golongan tersebut dan Cuepacs yakin walaupun seseorang itu miskin, mereka ini tetap kaya dengan budi pekerti dan akhlak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, Cuepacs yakin warga penjawat awam bijak untuk menggunakan budi bicara atau melihat kepada keperluan semasa sekiranya pelanggan yang hadir ke premis kerajaan mempunyai kesulitan tertentu untuk mematuhi etika berpakaian.

“Sehubungan itu, Cuepacs  ingin menegaskan agar tiada pihak-pihak yang cuba memainkan isu tersebut demi kepentingan ideologi politik masing-masing.

“Elakkan melakukan serangan kepada perkhidmatan awam hanya dengan tujuan atau kepentingan politik yang tidak bertanggungjawab.

“Penjawat awam juga sentiasa menekankan aspek perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai mestilah berada pada tahap yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, aspek kesopanan ini juga merupakan antara elemen yang dituntut dalam Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan.

“Ia sering saja diikrarkan oleh kita. Maka dalam konteks ini sewajibnya semua pihak mengambil pandangan yang positif terhadap tata etika berpakaian dalam berurusan mana-mana agensi dan jabatan kerajaan.

“Maka marilah kita bersama-sama mengamalkan semangat keluarga Malaysia yang disarankan oleh kerajaan demi kesejahteraan dan keharmonian kita semua sebagai rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here