KONTINJEN Malaysia berjaya mencapai sasaran 36 pingat emas di temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam malam tadi dan pencapaian itu turut mendapat perhatian serta ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pingat emas ke-36 penuh bermakna itu hadir daripada skuad karate negara malam tadi yang diperkuatkan R Sharmendran, S Prem Kumar, H Sureeya Sankar, S Geerijaieswaran, Arif Afifuddin Ab Malik, V Kueggan dan G Katish meraih emas selepas menewaskan Indonesia 3-0 di Gimnasium Sukan Ninh Binh.
“Tahniah! Kita telah berjaya mencapai sasaran 36 pingat emas menerusi skuad karate negara di Sukan SEA Vietnam!
“Saya bangga dengan pencapaian atlet Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada seluruh atlet yang membawa cabaran negara di temasya dwi-tahunan itu.
“Bagi yang tidak berjaya membawa pulang pingat, tidak mengapa, kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia sentiasa menyokong kalian.
“Kepada atlet yang masih berjuang, ayuh kita tambah lagi jumlah pingat kita!,” katanya.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, turut mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara atas kejayaan mencapai sasaran pingat emas negara.
“Alhamdulillah sasaran 36 pingat emas Kontinjen Malaysia di temasya Sukan SEA Vietnam 2021 berjaya kita capai.
“Saya juga cukup berpuas hati dengan prestasi semasa atlet-atlet negara,” katanya. – Malaysiapost

