‘Kita jumpa di mahkamah’ – Zahid jawab Tun M

0
3

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersedia untuk menjawab dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa dirinya berjumpa dengan bekas Perdana Menteri itu sebanyak lima kali untuk membincangkan kes jenayah yang dihadapinya, di mahkamah.

Ia susulan afidavit mahkamah Dr Mahathir yang berkata, Ahmad Zahid menemuinya lima kali antara 2018 dan 2020 dan melampirkan petikan jadual hariannya untuk membuktikan tuntutannya, lapor MalaysiaKini.

“Tak apa, kita jumpa di mahkamah,” kata ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menghadiri perbicaraan kes jenayah dan sedang berdepan dengan 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Terdahulu, Ahmad Zahid menyaman Dr Mahathir berhubung kenyataan Ahli Parlimen Langkawi itu terhadap dirinya pada sidang akhbar 23 Februari lalu.

Berikutan itu, Dr Mahathir pada 17 Mei memfailkan afidavit sebagai jawapan kepada saman Ahmad Zahid, dengan memberikan butiran lanjut mengenai dakwaan pertemuan itu, termasuk tarikh dan jadual hariannya pada tarikh berkenaan.

Dr Mahathir berkata, Ahmad Zahid berjumpa dengannya pada 7 Jun 2018, 13 September 2018, dan setiap hari dari 23 Februari hingga 25 Februari 2020.

Menurut Dr Mahathir, Ahmad Zahid telah menyatakan kebimbangan terhadap kes mahkamahnya semasa mesyuarat itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid enggan mengulas berhubung ugutan Dr Mahathir untuk menyamannya berkenaan kenyataannya pada 2017, ketika bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyebut bahawa Dr Mahathir bukan orang Melayu.

“Saya serah pada dia (jika dia mahu saman),” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Dr Mahathir sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid susulan kenyataan pada 2017 yang mempersoalkan asal usulnya.

Dr Mahathir turut mencabar Ahmad Zahid untuk menunjukkan bukti mengenai identiti dirinya yang dipertikai status bangsa sebagai Melayu.

Pada Julai 2017, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, beliau dimaklumkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa nama asal Mahathir ialah “Mahathir a/l Iskandar Kutty.”

Walaupun Ahmad Zahid tidak menamakan Dr Mahathir secara khusus, beliau ada menyebut ‘bekas perdana menteri serta 22 tahun beliau berkuasa’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here