Kerajaan GRS disaran laksana ‘Recall Petition’

0
3

Nilam Oshman

PENGANALISIS politik berpendapat telah tiba masanya kerajaan baharu Sabah menggubal undang-undang ‘Recall Petition’ bagi meletakkan noktah terhadap perbuatan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.

Recall petition adalah pilihan raya pecat wakil rakyat, iaitu antara yang dicadangkan untuk menghapuskan budaya lompat parti bagi mengelak ketidakstabilan politik dan kerajaan.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Khidmat Komuniti, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, cadangan undang-undang anti-lompat-parti pernah dibangkitkan tetapi tidak diluluskan di Parlimen suatu masa dulu.

Disebabkan itu, katanya, sesuatu kerajaan terutama di Sabah sentiasa bergolak dan tidak stabil.

“Saya rasa benda itu sudah sampai masa diutamakan, jadi saya setuju sangat, ia dilakukan sebab pelbagai masalah timbul dan diulangi hingga berlaku ketidakstabilan politik, itu tidak betul.

“Perkara ini lagi bagus dilaksanakan secepat mungkin kerana saya nampak kerajaan sekarang masih tidak stabil, jika ia (undang-undang kekang lompat parti) tidak wujud,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, Parti Cinta Sabah (PCS) yang diketuai Datuk Seri Anifah Aman menerusi Aku Janji parti itu mencadangkan ‘Recall Petition’.

Ia adalah satu gubalan perundangan yang membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kerusi seseorang Adun telah dikosongkan atau “vacant”.

Ini dilakukan sekiranya Adun tersebut berlaku curang dan khianat dengan melompat parti, meletak jawatan daripada parti, atau dipecat atas alasan munasabah.

Ini bermakna, individu tersebut kemudian bebas memilih untuk bersama mana-mana parti politik, namun Pilihan Raya Kecil akan diadakan supaya mandat dapat dikembalikan kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Mengulas lanjut, Dr Romzi berkata, undang-undang mengekang lompat parti dalam kalangan wakil rakyat sebenarnya telah lama perlu dilaksanakan kerana keadaan politik Sabah yang tidak pernah stabil.

Katanya lagi, undang-undang itu wajar dilaksanakan kerana sikap sesetengah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mementingkan diri, bukan memikirkan kepentingan rakyat.

“Adun kita pula, boleh lompat bila-bila masa… sesuka hati macam rakyat ini seolah-olah disuruh berkorban untuk kepentingan mereka. Jadi, sekarang ini sesuailah ‘Recall Petition’ dilaksanakan,” ujarnya. – Malaysiapost