DATUK Zahidi Zainul Abidin tampil mempertahankan pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu, ia sesuatu yang wajar mengambil kira kedudukan Tajuddin sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC).
“Kita lantik siapa pun akan ada kritikan dan pujian, itu biasalah. Lagi pun lantikan ini cadangan Perdana Menteri dan dipersetujui Presiden Indonesia Joko Widodo.
“Satu lagi, Tajuddin adalah Pengerusi BBC, jadi sesuailah dia dilantik ke mana-mana jawatan.
“Untuk jalankan tugas sebagai Pengerusi BBC, dia mesti berjawatan. Mana mungkin dia nak buat kerja (sebagai Pengerusi), dengan soal peruntukan dan sebagainya,” katanya dipetik Malaysiakini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kritikan pelbagai pihak terhadap Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.
BACA LAGI: Kaji semula pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar ke Indonesia – Patriot
Mengulas lanjut, Zahidi menjelaskan, semua pihak ada tanggapan masing-masing dan mereka bebas untuk setuju atau tidak setuju dengan pelantikan itu.
“Cumanya, kalau tak mahu lantik dia sebagai duta besar mungkin kena lantik dia sebagai Timbalan Perdana Menteri atau menterilah,” katanya berseloroh.
Tambahnya lagi, pelik apabila ada ahli biasa BBC yang memegang jawatan pengerusi di mana-mana entiti tetapi pengerusinya tidak berjawatan.
“Nak lantik dia dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan), GLC tak terima, nak lantik timbalan menteri pun orang tak terima. Jadi nak lantik dia sebagai apa?” katanya. -Malaysiapost

