Tambang mahal balik Sabah akan ditangani – PM 

0
2

KERAJAAN akan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan bagi memastikan harga tiket penerbangan tidak munasabah dan masa penerbangan ditunda ketika musim perayaan tidak berulang. 

Jaminan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada penduduk Sabah sempena Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kota Kinabalu hari ini. 

Beliau berkata, kerajaan sentiasa peka dengan keluh-kesah Keluarga Malaysia berhubung isu berkenaan yang dilaporkan kerap berlaku pada musim perayaan. 

“Justeru, perbincangan akan diadakan dengan pihak-pihak terlibat supaya Keluarga Malaysia tidak lagi bimbang ketika hendak pulang ke kampung halaman pada musim perayaan akan datang,” katanya. 

Baru-baru ini pelbagai pihak mendesak kerajaan mengambil tindakan susulan harga tiket penerbangan ke Sabah melambung naik sempena perayaan Aidilfitri. 

Malah banyak penerbangan syarikat AirAsia dilaporkan ditunda dan dijadualkan semula menyebabkan kesukaran kepada mereka yang mahu pulang ke Sabah. 

Sementara itu Ismail Sabri berkata kerajaan komited untuk melabur dalam bidang pendidikan dengan cara membaiki dan membina semula sekolah daif di kawasan pendalaman Sabah. 

Menurutnya, Kementerian Pendidikan telah mengamanahkan 113 sekolah daif di Sabah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai Agensi Pelaksana untuk menaik taraf sekolah-sekolah itu dengan kos RM1.02 bilion. 

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), katanya, kerajaan menetapkan sasaran sifar miskin tegar pada akhir tahun 2025. 

“Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri sedang menyelaras dan memudah cara Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM). 

“Justeru, kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan pejabat daerah bagi mendapatkan input semua pihak, termasuk peringkat akar umbi bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai. 

“Di bawah fasa pertama BMTKM, sebanyak 10 lokaliti di Sabah dikenal pasti iaitu di Tongod, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Nabawan, Tuaran, Sipitang, Beaufort dan Ranau,” katanya. 

Selain itu Ismail Sabri berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa berperanan sebagai anggota keluarga amat positif dalam memenuhi segala perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), terutama apa yang sepatutnya diperoleh Sabah. 

Sehubungan itu, katanya, Jawatankuasa Peringkat Persekutuan telah dibentuk dan dipengerusikan beliau dan turut disertai oleh Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, bagi membincangkan pelbagai perkara antaranya tuntutan Sabah menerusi MA63. 

“Dengan semangat Keluarga Malaysia, kita berharap agar sebarang isu mahupun permintaan Sabah yang tertunggak dapat dibincang dan dipertimbangkan dengan _ sebaik-baiknya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here