PENDAKWAH terkenal Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias tampil membuat pendedahan mengenai penderitaan sakit misteri yang ditanggungnya sejak sekian lama.
Ustaz Kazim menjelaskan, dia telah mencuba pelbagai jenis rawatan dan cuba menyembunyikan hal itu namun sudah tidak tahan untuk menanggung derita.
“Selama ini saya simpan keadaan diri saya tetapi selepas berusaha mendapat rawatan moden dan tradisional selama lapan bulan ni, saya rasa saya tak boleh lagi sembunyi dari orang ramai.
“Ini keadaan muka saya sekarang dan selama ini saya sembunyikan melalui tampalan apabila muncul di khalayak. Bukan hanya di muka malah seluruh badan.
“Ianya boleh terjadi luka dengan sendiri sehingga mengeluarkan darah tanpa semena-mena. Saya tak boleh siarkan keadaan yang lain kerana saya malu, saya rasa rendah diri sangat-sangat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam hantaran itu, Ustaz Kazim turut memuat naik sekeping foto memaparkan keadaan kesan seakan-akan lebam pada bahagian matanya.
Bercerita lanjut, Ustaz Kazim mendedahkan dia turut mengalami simptom seperti gatal, pedih serta gangguan emosi sehingga mengganggu rutin tidurnya sejak beberapa bulan lalu.
“Saya rasa saya perlukan pertolongan baik doktor atau daripada perubatan alternatif untuk merawat saya. Sakit, gatal, gelisah, pedih dan pelbagai perasaan saya selama ini tak boleh lagi saya sorok.
“Saya tidak boleh tidur seharian sejak berbulan yang lepas. Saya bimbang dengan keadaan saya ini akan menghilangkan saya dari dunia dakwah saya. Walaupun sakit tetapi tetap saya terima semua jemputan ceramah dan program.
“Kadang-kadang saya masuk dan keluar dari tempat ceramah dengan tergesa-gesa kerana tak dapat menahan kepedihan dan kesakitan yang ditanggung. Saya tidak boleh tidur seharian sejak berbulan yang lepas.
“Walau kadang-kadang dilabel sombong kerana tak beramah mesra dengan pendengar seperti dulu-dulu tapi tetap saya tabahkan hati sebab saya tahu orang ramai tidak tahu keadaan sebenar saya,” katanya.
BACA LAGI: ‘Siapa-siapa yang boleh tolong ubatkan saya..tolonglah’ – Ustaz Kazim
Ustaz Kazim turut mengucapkan terima kasih atas tawaran pelbagai pihak untuk mengubatinya.
“Terima kasih pada yang menawarkan bantuan dan nasihat kesihatan kepada saya. Saya dah berusaha berubat di banyak tempat tapi belum diberi keizinan oleh Allah.
“Mungkin ada dalam kalangan tuan/puan yang boleh membantu saya maka dengan itu saya siarkan gambar lengan effect khas itu sebagai kiasan,” katanya merujuk kepada foto tular tangannya yang dikongsi, semalam.
Dalam hantaran di Facebook itu, pendakwah itu turut memohon maaf jika ada tindakannya yang menyakiti hati sesiapa selama ini.
“Saya juga memohon maaf jika selama ini perkataan dan tingkah laku saya mengguris hati anda,” katanya yang memiliki lebih sejuta pengikut Facebook. -Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

