Polis buru lelaki buang patung sembahyang dalam tong sampah

0
3

POLIS kini sedang mengesan seorang individu yang dipercayai bertindak membuang patung sembahyang agama Hindu ke dalam tong sampah seperti dipaparkan dalam satu video yang tular sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow, berkata video berdurasi 42 saat itu dikesan dimuat naik oleh pengguna akaun Facebook Krishnamoorthy Vichu memaparkan tindakan seorang individu membuang patung sembahyang agama Hindu ke dalam tong sampah di mana video berkenaan telah mendapat perhatian masyarakat umum.

Menurutnya, pihaknya telah menerima laporan polis daripada seorang lelaki pada Ahad lalu jam 4.30 petang berhubung kejadian berkenaan dan rakaman percakapannya diambil.

“Lelaki berkenaan mendakwa kejadian berlaku pada Ahad lalu kira-kira jam 9 pagi di hadapan rumahnya di Taman Scientex Senai, Johor. 

“Pengadu mengesahkan patung dewa Ganesh berkenaan adalah miliknya yang diletakkan di luar halaman rumah untuk hiasan dan bukannya untuk tujuan sembahyang.

“Tiada sebarang kerosakan ke atas patung itu dan pengadu telah meletakkan kembali ditempat yang asal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian telah diambil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek berkenaan diminta menyalurkannya kepada polis atau Pegawai Penyiasat Sarjan Leon Kuda Anak Ikel di talian 012-7779338 untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak polis juga menasihati orang ramai agar tidak sesekali menyentuh sensiviti agama yang boleh membawa kepada ketegangan kaum,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here