KONTINJEN Malaysia meraih emas ke-27 dalam temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam, hari ini melalui perenang negara Khiew Hoe Yean.
Pingat emas berkenaan diraih atlet negara itu dalam acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki.
Lebih manis Hoe Yean turut berjaya membuat catatan peribadi terbaiknya 1:47.81 saat dalam saingan final di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi.
Berita gembira itu dikongsikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.
“Pingat emas ke-27 Kontinjen Malaysia! Syabas! Perenang lelaki negara, Khiew Hoe Yean meraih pingat emas 200m gaya bebas lelaki dengan catatan 1:47.81s,” katanya.
Hoe Yean pada Isnin lalu berjaya meraih dua pingat perak masing-masing menerusi acara 400m gaya bebas lelaki dan 200m kuak lentang lelaki.
Pingat emas dimenanginya hari ini menambah ceria kem renang negara yang berjaya meraih beberapa pingat untuk negara di Pusat Akuatik My Dinh dalam saingan yang bermula sejak Sabtu lalu. – Malaysiapost

