Kecurian lebih 22 juta data peribadi rakyat, bukan dari JPN – Hamzah 

0
3

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menegaskan dakwaan kecurian set data mengandungi maklumat peribadi lebih 22 juta penduduk di negara ini bukan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata, pihaknya mempunyai mekanisme siasatan yang boleh membuktikan bahawa sumber data berkenaan bukan daripada JPN.

“Kita sedang buat siasatan dengan betul, kerana dia (supek) mengatakan mendapat data-data itu daripada JPN, tetapi sebenarnya kita juga ada mekanisme yang boleh membuktikan bahawa ianya bukan datang daripada JPN.

“Misalnya kes yang lepas, akhirnya kita (berjaya) buktikan bahawa ia bukan datang daripada JPN tetapi beberapa agensi yang kita berikan ruang untuk menerima maklumat,” katanya kepada media, hari ini.

Justeru, katanya, pihaknya akan melihat keperluan untuk mengaji semula prosedur operasi standard (SOP) membabitkan data peribadi rakyat.

“(Keadaan seperti ini) yang menyebabkan JPN merasai bahawa mungkin ada keperluan untuk kita mendapat terus (data) daripada JPN.

“Itu kita akan tengok dan kaji semua dari segi SOP. Kita juga sedang buat siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, daripada siasatan dijalankan kebanyakkan pungutan data yang diperoleh itu adalah bersumberkan tempat lain bukan terus daripada JPN.

“Apabila kita tengok banyak benda yang didapati (data) itu macam koleksi daripada tempat-tempat lain.

“Justeru, kita akan panggil semua yang terbabit dan akan kita maklumkan kemudian,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, wujud pelanggaran data milik agensi kerajaan membabitkan JPN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di mana penjual dalam talian mendakwa menjual data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia serta swafoto pengesahan kad pengenalan milik 800,000 individu.

Memetik laporan portal teknologi dan telekomunikasi, Soyacincau pada Selasa, penjual itu mendakwa sebagai pihak yang sama di sebalik penjualan data peribadi milik empat juta rakyat Malaysia tahun lalu.

Menurut portal itu juga, pangkalan data pertama jualan didakwa mengandungi 22.5 juta rekod yang diperoleh daripada Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) MyIdentity JPN, meliputi seluruh populasi dewasa di Malaysia yang dilahirkan antara 1940 hingga 2004.

“Rekod tersebut bukan sahaja mengandungi nama penuh, tetapi juga nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit, alamat penuh, jantina, bangsa, agama, dan gambar dalam kad pengenalan.

“Bagi membuktikan bahawa data tersebut adalah sah, penjual turut menyediakan sampel rekod milik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Turut dilampirkan gambar kad pengenalan beliau,” menurut portal itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here