BATALION 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam, Johor bersama anggota dari Balai Polis Ulu Tiram berjaya menahan seorang lelaki dan merampas 30,000 liter minyak diesel bersubsidi yang cuba diselewengkan.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Superintendan Dimin Awang, berkata kejayaan itu hasil serbuan di Jalan Batu 18, Jalan Sungai Tiram, Johor kira-kira jam 4.30 pagi semalam.
Menurutnya, tangkapan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun dan turut dirampas dalam serbuan itu adalah sebuah lori tangki jenis Nissan UD.
“Hasil pemeriksaan, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen memiliki, menyimpan dan membawa barang Kawalan terbabit.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM224,500 dan kejayaan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di sekitar daerah Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan yang tidak diwartakan.
“Maklumat boleh disalurkan melalui talian Hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” katanya. – Malaysiapost

