Mayat disyaki individu terjun jambatan Pulau Pinang ditemui

0
1

MAYAT disyaki individu terjun jambatan pertama Pulau Pinang pada 16 Mei lalu ditemui terapung berhampiran perairan Pulau Rimau kira-kira jam 9.40 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang Kepten Maritim Abd Razak Mohamed, berkata Operasi Carilamat yang masuk hari ketiga hari ini dihentikan setelah Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang menerima maklumat penemuan terbabit.

Menurutnya, maklumat diterima dari Balai Polis Perai yang memaklumkan penemuan berkenaan oleh nelayan tempatan lebih kurang jarak 2.3 barat daya Pulau Rimau.

“Bot Perkasa 1221 serta aset agensi sahabat yang terlibat diatur gerak ke lokasi penemuan.

“Mayat mangsa dibawa oleh bot RH 35 Pasukan Polis Marin ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk proses pengecaman dan sanitasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pasukan Polis Marin Batu Uban, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Agensi Pertahanan Awam yang turut serta membantu dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, Operasi Carilamat yang masuk hari ketiga itu membabitkan pembahagian lima sektor pencarian dengan keluasan 34.8 batu nautika persegi ditamatkan pada jam 1 tengah hari tadi.

“Maritim Malaysia ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil langkah terburu-buru sebegini sekiranya menghadapi sebarang masalah dan rujuk pihak yang berkaitan dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

“Orang awam diminta agar melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.

Isnin lalu, media melaporkan seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai terjun ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 4.0 arah Perai.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, pasukan bomba yang ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat mendapati mangsa meninggalkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih dalam keadaan enjin masih hidup di atas jambatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here