‘EXCO, Adun tidak pernah bincang isu tukar KM Melaka’ – Dr Akmal

0
2

ISU penukaran Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak pernah dibincangkan di peringkat EXCO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), kata Dr Akmal Saleh.

EXCO Kesihatan dan Antidadah Melaka itu berkata, perkara itu tidak pernah berbangkit sepanjang tempoh beliau menjawat jawatan berkenaan.

“Tidak pernah sekelumitpun sepanjang saya menjadi EXCO kerajaan negeri ada usaha yang meminta kami untuk menukar kepimpinan kerajaan negeri dari mana-mana pihak.

“Namun, kami tidak pasti jika ia dibincangkan bersama dengan ketua bahagian dan pemangku ketua bahagian yang bukan wakil rakyat untuk menukarkan kepimpinan ketua menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau turut menyifatkan dakwaan bahawa Sulaiman diminta meletakkan jawatan sebagai tidak berasas.

Dr Akmal menegaskan ketua menteri dipilih oleh ADUN dan bukannya oleh mana-mana pihak termasuk ketua bahagian parti politik.

Sebelum ini, timbul dakwaan di media sosial bahawa Sulaiman dipaksa menandatangani surat perletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Namun, dakwaan itu dinafikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Mohamad Ali Mohamad yang menegaskan Sulaiman akan kekal memegang jawatan itu sehingga tamat penggal.

Sementara itu, Dr Akmal yang juga ADUN Merlimau turut mengkritik mana-mana pihak yang menurutnya cuba melaga-lagakan Sulaiman dengan Pengerusi Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Jika ia tetap berterusan,saya mohon agar lembaga disiplin parti untuk mengambil tindakan ke atas ‘si kitol’ yang memecah belahkan Umno negeri Melaka ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Pemangku Ketua Umno Bahagian Alor Gajah, Rospandi Leman, tidak menafikan wujud paksaan pihak tertentu supaya Sulaiman menandatangani surat peletakan jawatan dalam masa terdekat.

Kenyataan itu susulan dakwaan dimuat naik di sebuah akaun Facebook kononnya Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ketua menteri Melaka.

Sulaiman yang juga ADUN Lendu mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 21 November tahun lalu selepas Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here