PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa masih belum ‘move on’ daripada mengulangi propaganda dan hasutan Pakatan Harapan (PH) semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), walaupun selepas empat tahun berlalu.
Perkara itu dinyatakan Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad selepas menilai hujah dan pandangan diutarakan Ketua Pembangkang itu dalam sesi Debat Perdana dengan Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.
Beliau berkata, Anwar hanya beretorik ketika sesi debat berkenaan terutama membabitkan isu berkaitan FELDA dan Tabung Haji (TH).
“Kesimpulannya, sudahpun empat tahun selepas PRU14 tapi DS Anwar belum lagi ‘move on’ dari mengulangi propaganda dan hasutan PH semasa kempen PRU14.
“Masih dia terperangkap dalam retorik pembangkang dan tidak mahu menerima hasil audit forensik yang PH telah lakukan sendiri,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Dalam nada sinis, Shahrir berkata, berbanding Anwar, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sekurang-kurangnya sudah ‘move on’ dengan meninggalkan Anwar, parti itu dan juga PH.
“Itu sebab PH sudahlah percaya kepada propaganda mereka sendiri tapi juga tidak boleh menerima hasil audit forensik yang mereka sendiri lakukan. Itulah retorik mereka,” katanya.
Dalam hantaran sama, Shahrir mengambil contoh pandangan Anwar yang disifatkan retorik, termasuk dalam isu urustadbir dan integriti dengan mencadangkan audit forensik dijalankan bagi memastikan badan-badan penting kerajaan tidak disalahurus.
“Terus DS Anwar menyebut Tabung Haji dan FELDA sebagai contoh di mana telah berlakunya kepincangan pengurusan dibawah pemerintahan BN.
“Kedua-dua badan itu telah diaudit oleh kerajaan PH. Hinggakan dibentang Kertas Putih mengenai FELDA dan Azmin Ali, ketika itu, juga frasa ‘kedurjanaan korporat’ untuk menyifatkan salahlaku dalam FELDA.
“Namun begitu, selepas audit forensik, tidak ada seorang pun dari pengurusan tertinggi TH atau FELDA yang telah didakwa di mahkamah diatas apa-apa jenayah,” katanya. – Malaysiapost

