“Cukup-cukuplah menghasut rakyat untuk membenci kerajaan” – Onn Hafiz

0
3

MENTERI Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan rasa dukacita dengan tindakan pembangkang yang mempolitikkan Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ).

Beliau berkata, BKBJ adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membantu Bangsa Johor yang antaranya ialah bantuan 10 kilogram (kg) beras kepada 903,000 ketua isi rumah di Johor.

Menurutnya, ia bermakna setiap rumah di Johor (warganegara) akan mendapat bantuan berkenaan yang objektifnya adalah sebagai tanda kasih kerajaan untuk membantu Bangsa Johor berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Ia merupakan sumbangan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Sebab itu, adalah amat mendukacitakan apabila bantuan ini dipolitikkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang yang menangguk di air yang keroh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut berkongsi kenyataan Ketua Pembangkang Johor, Liew Chin Tong yang mempersoalkan dimana pergi beras bantuan terbabit.

Manakala menurutnya, Adun Stulang, Andrew Chen Kah Eng pula didakwa memberi maklumat yang tidak tepat sehingga mengelirukan rakyat Johor tentang pengagihan.

“Cukup-cukuplah menghasut rakyat untuk membenci kerajaan. ‘Stop the hate politics! We are trying our best to help the rakyat’.

“Dengan lebih 903,000 ketua isi rumah di Johor, proses penyerahan bantuan kepada seluruh pelusuk Johor akan memakan masa dan sasaran kita adalah semua penerima akan menerima sekampit beras sebelum 31 Mei 2022,” katanya.

Menurutnya, sehingga 15 Mei 2022, 10kg beras telah diagihkan kepada 344,197 penerima dan semuanya berjalan mengikut jadual setakat ini.

Beliau berkata, kerja-kerja pengagihan bantuan sedang dan akan terus diselaraskan oleh kerajaan negeri serta dibantu pelbagai pihak lain.

“Pilihan Raya Negeri dah habis. Cukup-cukuplah berpolitik. ‘Its time to rebuild this great state’. Sama-samalah kita berharap YB Liew Chin Tong dan pihak pembangkang berhenti menghasut rakyat. Jadilah pembangkang yang konstruktif.

“Sama-samalah kita berusaha untuk menyatukan seluruh Bangsa Johor dan bukan memecah belahkan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here