Malaysia bincang halatuju HSR dengan Singapura

0
2

MALAYSIA dan Singapura semalam mengadakan perbincangan mengenai halatuju projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang telah ditamatkan sebelum ini.

Perbincangan itu diadakan antara Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bersama rakan sejawatannya, S Iswaran sebelum Sidang Kemuncak Penerbangan Changi 2022 yang bermula hari ini di Singapura.

Menurut Ka Siong, selain berkaitan HSR, turut dibincangkan termasuklah kemajuan terkini projek Rail Transit System (RTS) link, dan Flight Information Region (FIR).

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal capai persetujuan bagi perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Pada Mac tahun lalu, Malaysia mengumumkan ia membayar SG$102.8 juta kepada Singapura bagi kos ditanggung untuk pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penangguhannya.

Bagaimanapun pada 29 November 2021, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata republik itu terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek itu walaupun kedua-dua negara sebelum ini bersetuju menamatkannya.

Hsien Loong berkata, Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu dan Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia.

Sementara itu Ka Siong berkata, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Iswaran atas jemputan delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak tersebut.

Menurutnya, pengangkutan dan saling-hubungan antara Malaysia dan Singapura memainkan peranan amat penting dari segi ekonomi dan sosial.

“Oleh sebab itu pemimpin kedua-dua negara mengambil inisiatif untuk membuka semula sempadan antara Malaysia-Singapura, hasil daripada hubungan dua hala akrab yang terjalin selama ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here