Maritim Kuala Perlis rampas 2.18 tan ketum, 150kg minyak masak

0
2

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 2.18 tan daun ketum ke Thailand dalam dua kejadian berasingan di Pulau Ketam dan Sungai Padang, Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, berkata kes pertama membabitkan rampasan sebanyak 780 kilogram daun ketum bernilai RM140,400 di kedudukan 0.5 batu nautika barat pantai Pulau Ketam, Perlis.

Menurutnya, dalam kejadian jam 10.50 malam itu turut dirampas adalah 150 bungkusan minyak masak bersubsidi seberat 150 kilogram (kg) yang bernilai RM1,200.

“Kejayaan operasi adalah hasil kolaborasi maklumat bersama Unit Risikan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan dipantau unit dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Dron ATM telah mengesan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak keluar dari Kuala Sanglang menuju ke arah sempadan Thailand dalam keadaan mencurigakan.

“Sejurus menerima maklumat, Zon Maritim Kuala Perlis mengatur gerak bot ronda pasukan operasi ke lokasi bagi menyerbu dan berjaya mengesan suspek bergerak laju ke arah sempadan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, menyedari kehadiran pihak berkuasa, dua suspek bertindak memecut laju bagi meloloskan diri dengan menuju ke daratan namun bot ronda Maritim Malaysia berjaya memintas dan menahan bot tersebut.

Menurutnya, tekong bot bertindak melarikan diri dengan terjun dan berenang ke daratan berhampiran, namun seorang kru warga Thailand berumur 40 tahun berjaya ditahan.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk daun ketum, minyak masak, bot fiber berserta enjin sangkut bergalah dianggarkan sekitar RM 161,600,” katanya.

Beliau berkata, kes kedua membabitkan rampasan 140 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum pada jarak satu batu nautika barat pantai Sungai Padang, Perlis sekitar jam 11.59 tengah malam, 14 Mei lalu.

“Zon Maritim Kuala Perlis mengesan seorang suspek sedang mengemudi bot dalam keadaan mencurigakan keluar dari muara Sungai Kerpan menuju ke sempadan Thailand.

“Sebaik suspek menyedari bot penguat kuasa, suspek memecut laju untuk melarikan diri namun bot ronda Maritim Malaysia berjaya memintas dan menahan bot tersebut.

“Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong warga Thailand berumur 26 tahun. Hasil pemeriksaan menemukan 140 bungkusan plastik berwarna hitam yang disyaki daun ketum seberat 1.4 tan bernilai RM252,000.

“Nilai keseluruhan rampasan kedua ini, termasuk daun ketum, bot fiber berserta enjin sangkut dianggarkan sekitar RM272,000 ribu,” katanya.

Menurutnya, suspek warga Thailand yang ditahan dalam kedua-dua kes serta kesemua rampasan termasuk bot yang dianggarkan bernilai RM433,600 dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here