HARGA produk berasaskan gandum dijangka meningkat susulan langkah India menyekat eksport bahan mentah itu ke pasaran global termasuk Malaysia.
Keadaan tersebut sekali gus dijangka bakal menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi dunia.
Memetik laporan Berita Harian, Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata langkah dilaksanakan bagi melindungi kepentingan pasaran domestik India itu juga dilihat menambah tekanan ke atas rantaian bekalan gandum global yang terjejas akibat krisis Russia-Ukraine.
Menurutnya, ini akan menyebabkan barangan tempatan berasaskan gandum akan menjadi lebih mahal, sekali gus boleh menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi.
“Situasi ini dijangka berterusan beberapa bulan lagi kerana bukan mudah meningkatkan kembali bekalan gandum dengan segera kerana ia bergantung kepada faktor cuaca dan permintaan peringkat domestik serta global.
“Justeru rakyat Malaysia dinasihat berhemah dalam berbelanja dan mengutamakan barangan tempatan,” katanya seperti dilaporkan akhbar itu.
India melarang eksport gandum berkuat kuasa serta-merta ketika gelombang haba akibat cuaca panas terik menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan mencecah rekod paras tertinggi.
Harga gandum di India meningkat kepada rekod tertinggi dengan beberapa pasaran mencecah 25,000 rupee (RM1,418) satu tan, berbanding harga sokongan minimum ditetapkan kerajaan 20,150 rupee (RM1,143).
Bagaimanapun, kerajaan India menjelaskan, pihaknya masih membenarkan eksport membabitkan surat kredit sudah dikeluarkan serta atas permintaan negara yang berusaha memenuhi keperluan keselamatan makanan mereka.
Peningkatan harga makanan dan tenaga mendorong inflasi runcit tahunan India melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun bulan lalu serta mengukuhkan pandangan ahli ekonomi bahawa bank pusatnya perlu menaikkan kadar faedah secara lebih agresif untuk mengekang harga.
Indonesia sebelum ini mengambil langkah menyekat eksport minyak sawit bagi mengekang kenaikan harga komoditi itu, di samping menjaga kepentingan pasaran domestiknya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Google

