MALAYSIA meraih pingat emas ke-19 negara di Sukan SEA Vietnam 2021 menerusi persembahan Nor Sarah Adi dalam acara lompat bergalah wanita.
Atlet dari Pahang berusia 22 tahun itu berkata, emas dalam acara lompat bergalah sama sekali tidak dijangka memandangkan dirinya ke Hanoi untuk menyertai acara 4×100 meter (m).
“Saya layak untuk 4x100m tetapi menerima peluang untuk menyertai acara lompat bergalah. Tentunya peluang sebegini tidak selalu dapat dan saya mahu menjanjikanyang terbaik walaupun berdepan kekangan masa untuk berlatih (lompat bergalah),” katanya.
Nor Sarah meraih emas dengan lompatan 4m, manakala perak dimenangi atlet Thailand, Chonthicha Khabut (3.80m) dan gangsa dibawa pulang Alyana Joyce Nicolas Martinez dari Filipina, 3.60m.
Dalam pada itu, Sarah turut membantu kuartet 4x100m wanita yang disertai S. Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias meraih gangsa dengan catatan 45.32s. – Malaysiapost

