‘Banyak rancang bantu orang Melayu tapi sebelum laksana saya ditolak jatuh’

0
1

PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan mempunyai banyak rancangan dan pelan membangunkan orang Melayu dari pelbagai aspek ketika beliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.

Bagaimanapun, katanya belum sempat pelan itu dilaksanakan, beliau telah ‘ditolak jatuh’ serta dibuang daripada jawatan berkenaan.

Antara perancangan yang disenaraikan Dr Mahathir ialah mengurangkan kemiskinan dalam kalangan orang Melayu yang menjadi masalah utama sejak sekian lama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelawaan Ketua Penerangan Umno Selangor, Isham Jalil yang berhasrat mengadakan wacana bersama Ahli Parlimen Langkawi itu.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, selain daripada penganjuran wacana, terdapat beberapa kaedah lain dalam menyuarakan pandangan bagi mengetengahkan isu-isu khususnya dalam membangunkan negara Malaysia.

Pelawaan itu juga, tegas Dr Mahathir, mempunyai tujuan tertentu yang akan memberikan kelebihan kepada pihak atau individu seperti Isham.

“Ada banyak cara kita bangkitkan isu ini, tidak semestinya ada wacana seperti ini, pasal ada tujuan tertentu nak ada perjumpaan seumpama itu.

“Saya bercakap berkenaan banyak masalah orang Melayu dan kita sudah tahu banyak cara mengatasi masalah itu dan kita sudah rancang macam mana nak mengatasi masalah kemiskinan di kampung, tetapi belum pun lancar projek itu saya kena buang, ditolak jatuh,

“Jadi diorang lebih utamakan nak jadi Perdana Menteri daripada selesaikan masalah orang Melayu, masalah orang Melayu ini banyak terutama kemiskinan, kita perlu ada perancangan macamana nak kurangkan kemiskinan dalam kalangan Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Jamuan Hari Raya Parlimen Langkawi, di Dataran Telaga Walk, Langkawi hari ini.

Sementara itu, beliau membidas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggambarkan rakyat sebagai raja atau ‘king’ menerusi pendekatan ‘cash is king’.

Malah Dr Mahathir menyifatkan kenyataan yang dibuat Najib itu sebagai satu pembohongan oleh orang yang tidak siuman.

Beliau mendakwa Najib sudah berulang kali menipu rakyat Malaysia termasuk di Dewan Rakyat.

“Saya hairan kenapa Najib diberi tempat untuk dia bercakap bohong, macam tak siuman (dia bercakap)… kononnya cash is king, king itu rakyat, jadi sekarang bila kita jumpa rakyat, kita (kena panggil) Duli Yang Maha Mulia rakyat. Bukan macam itu… itu cakap bohong.

“Dulu dia kata nak malu buat apa pasal dia boss, boss curi tidak apa, jadi ada dalam Parlimen dia kata kita tak bayar satu sen pun hutang, mana tak bayar, kita bayar berbilion Ringgit… dia kata tak bayar, dia cakap tak betul.

“Orang ini mempunyai niat nak jadi Perdana Menteri, dia harap kalau UMNO menang dia akan diampun sekali lagi, sekarang ini semua orang nak jadi Perdana Menteri lagi, (Tan Sri) Muhyiddin pun nak jadi Perdana Menteri juga sekali lagi,” ujarnya.

Selain membidas pendekatan cash is king, Dr Mahathir turut menyifatkan analogi ‘kek’ yang dinyatakan Najib dalam debat berkenaan sebagai tidak menggambarkan keperibadian sebenar pemimpin itu.

“Dia buat macam itu ka (kongsi kek) semasa dia jadi Perdana Menteri? Saya ditutup sama sekali untuk bercakap, bukan pembahagian sama rata, masa dia (Najib) jadi Perdana Menteri tak ada sama rata, sekarang bila tak jadi Perdana Menteri mesti sama rata (pula)?” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here