Awas terhadap penyakit musim perayaan

0
2

Marlia Zakaria

PERUBAHAN corak pemakanan secara drastik ketika aktiviti ziarah lebaran berpotensi menjadi pencetus penyakit.

Pegawai Dietetik SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Laila Fadhilah Omar berkata, ia berikutan menu yang terhidang ketika Hari Raya Aidilfitri biasanya tinggi kandungan gula, garam atau lemak.

“Setahun sekali bukan alasan. Bahaya terutamanya kepada golongan berisiko seperti penghidap kencing manis, darah tinggi, tinggi kolestrol, sakit jantung atau hati berlemak.

“Terlalu sibuk atau gembira berhari raya hingga pengambilan ubat diabaikan, juga boleh mencetuskan situasi lebih buruk contohnya kemerosotan buah pinggang, kerosakan saraf, serangan jantung atau strok,” katanya.

Bagi yang sihat pula katanya, jangan terlalu gembira makan tanpa sukat kerana turut berisiko mengalami pertambahan berat badan secara drastik sekaligus mengundang pelbagai penyakit.

“Katakan anda makan lebih daripada yang perlu selama sebulan, ia dah cukup untuk beri perubahan kepada berat badan dan bentuk fizikal menjurus kepada obesiti sekaligus mengundang pelbagai jenis penyakit.

“Selain itu, simptom pedih hulu hati atau dikenali sebagai Gastroesophageal Reflux Disease (GERD) boleh berlaku apabila makan secara berterusan terutamanya makanan yang pedas, berasid dan berlemak,” katanya.

Menurutnya lagi, peranan setiap individu sangat penting dalam melahirkan masyarakat yang cakna kesihatan diri terutamanya di musim perayaan.

“Tidak salah kalau nak nikmati pelbagai menu raya cuma berpada-padalah. Ambil kuantiti sedikit lebih-lebih lagi jika banyak jemputan yang perlu dihadiri, minum air kosong dan bersenam secara rutin.

“Kepada tuan rumah pula, usah desak tetamu untuk menikmati juadah yang anda sediakan kerana mereka elak mungkin bersebab. Jangan kerana ingin mengambil hati, mereka terpaksa melanggar ‘pantang’,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here