Hajiji umum pertukaran portfolio Bung Moktar, Masidi

0
3

HANYA beberapa jam selepas memasuki pejabat, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor mengumumkan pertukaran portfolio antara Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Masidi Manjun.

Kedua-duanya kini mqsing-masing mengetuai Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Pada majlis mengangkat sumpah di Istana Negeri pagi tadi, Bung Moktar diumum memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, manakala Masidi sebagai Menteri Kerja Raya.

Hajiji dalam sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, turut mengumumkan satu lagi portfolio baharu untuk Masidi iaitu Menteri Kewangan 2.

Ini kerana, kata Hajiji, beliau memerlukan khidmat Masidi untuk membantunya dalam soal kewangan bagi memulihkan ekonomi Sabah dan menghadapi Covid-19.

Menjelaskan mengenai pertukaran portfolio, Hajiji berkata tiada masalah berbangkit berhubung perkara itu.

“Tiada masalah cuma saya mahu Masidi bantu saya kerana beliau berpengalaman dalam ekonomi dan kewangan. Ia dipersetujui oleh semua,” katanya.

Turut hadir sidang media itu ialah dua lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji turut memberitahu lima lagi menteri akan dilantik bagi melengkapkan senarai Kabinet negeri dalam masa terdekat.

“Ada lima orang lagi akan mengangkat sumpah tidak lama lagi serentak dengan pelantikan Pembantu Menteri,” katanya

Beliau turut menafikan menghadapi masalah dengan kepemimpinan Umno seperti didakwa pihak tertentu.

“Tiada masalah, lihat ini Bung Moktar ada sini,” katanya sambil disambut ya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag tersebut. – Malaysiapost