JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi bantuan kecemasan dengan menghantar wanita Orang Asli di Pos Gob yang sakit mahu bersalin ke Hospital Gua Musang (HGM) kerana jalan darat terputus.
Wani Uda, 31, yang sudah seminggu sakit mahu bersalin kemudian diselamatkan menerusi penerbangan ihsan Unit Udara JBPM pada jam 12.33 tengah hari tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata, helikopter Agusta A109E berlepas dari Subang pada 11.27 pagi selepas menerima laporan mengenainya daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak pada jam 9 pagi.
“Pesakit itu terus diterbangkan ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada 1.03 tengah hari.
“Wanita berkenaan yang ditemani bapanya sebagai pengiring dalam keadaan stabil kemudian dikejarkan ke HGM dengan ambulans,” katanya.
Menurut Mohd Farhan, penerbangan itu diketuai juruterbang, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Faizal Abd Latif dan dibantu penolong juruterbang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fazli Ezham Jamil.
Katanya, pihak JBPM dimaklumkan laluan ke Kampung Tembaga, Pos Gob masih belum boleh dilalui selepas berlaku kerosakan teruk dalam kejadian banjir lumpur kira-kira dua bulan lalu. – Malaysiapost

