PINDAAN Perlembagaan Umno berkaitan pemilihan parti itu tidak mempengaruhi penentuan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usul pindaan yang diluluskan Umno hari ini adalah proses yang berbeza dan hanya melibatkan pemilihan dalam parti, sementara keputusan untuk mengadakan PRU, ditentukan kerajaan.
“Tarikh (PRU) itu ditetapkan oleh kerajaan dengan keputusan dari mesyuarat Kabinet. Kita akan bawa dalam Kabinet. Sementara parti berbeza dengan kerajaan.
“Parti pun tahu, kalau ada cadangan (untuk diadakan PRU) akan bawa ke Kabinet dan Kabinet yang memutuskan. Kalau pun Kabinet sudah memutuskan tarikh, Kabinet akan beri mandat kepada saya untuk berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas di PWTC, hari ini.
Naib Presiden Umno itu juga ditanya mengenai perlunya kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) terhadap pindaan itu, beliau berkata, terserah kepada agensi itu untuk menentukan keputusannya.
“Usul itu sudah diterima sebulat suara dan selepas ini Umno akan menulis surat kepada ROS untuk mendapatkan kelulusan. Itulah dari segi prosedurnya.
“Kita tidak tahulah. Kita akan hantarlah permohonan itu untuk dapatkan kebenaran ROS terhadap pindaan itu. Kita tunggulah, kita pun tak tahu lagi,” katanya.
Menurutnya, Umno perlu menghantar surat pemakluman kepada ROS berkaitan keputusan PAU Khas hari ini dalam tempoh 60 hari. -Malaysiapost

