Umno Johor sedia hadapi PRU15 bila-bila masa – Hairi

0
2

SAMA ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini atau pun tahun depan, Umno dan Barisan Nasional (BN) Johor telah bersiap siaga untuk menghadapinya, kata Mohd Hairi Mad Shah.

Ketua Pemuda Umno Johor itu berkata, BN telah bersiap sedia untuk meneruskan momentum kepercayaan rakyat yang diberikan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu untuk menawan kembali kerusi Parlimen yang terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

“Bagi kami sama ada lambat atau pun cepat PRU15, kami pergerakan Pemuda Umno Johor bersiap siaga bila sahaja diumumkan pembubaran Parlimen.

“Insyallah pemuda mahu pun BN, jentera parti bersiap siaga dalam menempuhi pilihan raya,” katanya yang ditemui pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas, di PWTC, hari ini.

Hairi berkata, BN yakin rakyat Johor tidak akan mensia-siakan peluang untuk memastikan BN mencapai kemenangan pada PRU15 nanti.

“Apabila rakyat melihat kerajaan BN yang boleh memulihkan ekonomi mahu pun landasan yang tepat, sebab itu lah pada PRN Johor rakyat tidak mensia-siakan peluang diberikan, akhirnya 40 kerusi dun BN menang dan diberi mandat oleh raya.

“Saya yakin rakyat tidak sesekali lagi terpedaya dengan dakyah, provokasi, manifesto atau pun janji manis pembangkang,” katanya.

Pada masa sama, Hairi menyeru semua ahli-ahli Umno bersatu hati dan tidak lagi terpedaya kononnya parti itu dalam perpecahan kerana usul pindaan perlembagaan parti itu berjalan dengan lancar dalam suasana harmoni pada PAU Khas, hari ini.

“Pindaan perlembagaan Umno pada hari ini, saya melihat tiada apa diperbesarkan lagi isu dalaman, hari ini kita lebih memfokuskan pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Terdahulu, perwakilan Umno pada PAU Khas bersetuju membuat pindaan Perlembagaan parti itu bagi membenarkan pemilihan parti itu diadakan selepas PRU15. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here