Tiada EXCO terlibat dalam konspirasi singkir KM Melaka

0
2

TIADA Ahli EXCO Negeri Melaka terlibat dalam komplot mendesak Datuk Seri Sulaiman Md Ali meletak jawatan Ketua Menteri, kata Dr Muhamad Akmal Saleh.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri itu, berkata usaha pihak tertentu melaga-lagakan Sulaiman dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, disifatkannya ibarat ‘duri dalam daging’.

ADUN Merlimau itu berkata, beliau cuba mengelak daripada memberi ulasan berhubung tindakan melaga-lagakan Sulaiman dan Ab Rauf, tetapi perbuatan itu semakin menjadi-jadi.

“Tidak pernah sekelumit pun sepanjang saya menjadi EXCO kerajaan negeri ada usaha yang meminta kami untuk menukar kepimpinan kerajaan negeri dari mana-mana pihak.

“Maka dakwaan untuk meminta ketua menteri meletakkan jawatan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas kerana ia tidak pernah langsung berlaku dan dibincangkan bersama kami wakil rakyat.

“Kami tidak pasti pula jika ia dibincangkan bersama dengan ketua bahagian dan pemangku ketua bahagian yang bukan wakil rakyat untuk menukarkan kepimpinan ketua menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Dr Muhamad Akmal yang juga Naib Ketua Pemuda Umno Melaka meminta lembaga disiplin parti mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba memecahbelahkan Umno Melaka.

“Dan sepengetahuan saya, kerajaan negeri dan ketua menteri ini dibentuk dan dipilih oleh wakil rakyat dan bukannya dipilih oleh ketua bahagian mahupun pemangku ketua bahagian yang bukan wakil rakyat.

“Jadi saya harap kepada pihak yang suka melaga-lagakan orang ini janganlah jadi seperti sudu lebih dari kuah. Kita nak terus bekerja untuk rakyat. Biarkan politikus ini dengan labu labunya,” katanya.

Semalam, media melaporkan Umno Bahagian Alor Gajah mencadangkan Sulaiman segera dilantik sebagai Pengerusi Umno Melaka dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baharu menggantikan Ab Rauf.

Cadangan itu disuarakan pemangku Ketua Umno Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman yang didakwa mahu jawatan itu digantikan dengan Sulaiman, susulan timbul spekulasi gerakan menyingkirkan ADUN Lendu itu, baru-baru ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here