Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-51 diadakan di UMK

0
2

SAMBUTAN Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-51 kembali diadakan secara bersemuka di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Isnin ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, beliau akan berada di Kelantan selama tiga hari bermula hari ini bagi menyertai program-program sempena sambutan Hari Guru tersebut.

“Hari ini saya ke Kelantan bagi menyertai beberapa program sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-51, Isnin ini.

“Sambutan yang kembali diadakan secara bersemuka selepas dua tahun ini akan berpusat di Universiti Malaysia Kelantan di Bachok.

“Menuju acara kemuncak Isnin ini, saya akan terlibat dalam beberapa program bermula sesi libat urus bersama guru-guru pagi ini, antara lain bagi berkongsi objektif dan matlamat di sebalik pengenalan konsep Sekolahku SEJAHTERA serta pengoperasian sekolah menuju peralihan fasa endemik,” katanya.

Radzi berkata, sebanyak tiga sesi libat urus akan dilangsungkan dalam tempoh tiga hari dengan topik perbincangan berlainan.

“Melalui sesi ini, guru-guru diberi peluang melontarkan pandangan masing-masing ke arah memperkasa bidang pendidikan,” katanya.

Tambahnya, selain libat urus, beliau juga akan menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s; Kayuhan Ceria Hari Guru; serta merasmikan Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia; dan menyertai perlawanan bola sepak bersama warga pendidik sebelum ke acara kemuncak sambutan Hari Guru pada Isnin ini.

“Program sebegini diatur sebagai menghargai jasa dan pengorbanan insan mulia bergelar guru dalam membentuk generasi pewaris negara yang berkualiti tinggi.

“Semoga program ini berjalan lancar dan dapat mencapai aspirasi dan semangat di sebalik sambutan Hari Guru selain mengeratkan ukhuwah sesama keluarga besar pendidikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here