Guna rekod gigi bagi pengesahan identiti 3 mangsa

0
2

PROSES pengesahan identiti tiga lagi mayat mangsa kemalangan melibatkan pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) akan dilakukan melalui pemeriksaan dan padanan rekod pergigian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, data mengenai rekod pergigian mangsa sudah diperoleh dan proses pemeriksaan serta padanan dijangka memakan masa antara dua hingga tiga jam sahaja.

Beliau berkata, bedah siasat ke atas tiga mayat terbabit sudah selesai dan kini, proses beralih kepada mengesahkan identiti mayat melalui pemeriksaan dan padanan rekod pergigian.

“Sekiranya terdapat padanan atau persamaan (rekod pergigian), maka identiti tiga mangsa itu boleh dikenal pasti.

“Namun jika padanan rekod pergigian masih gagal mengesahkan identiti, langkah seterusnya adalah beralih kepada ujian asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Pada Rabu lalu, dalam kejadian sekitar jam 12.52 tengah malam, lima pelajar USAS menaiki kereta Honda City maut selepas kereta dinaiki terbakar dirempuh sebuah treler muatan besi dari arah belakang di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Kuala Kangsar.

Sehingga kini hanya dua daripada lima mangsa dikenal pasti, dengan tiga lagi iaitu Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22 dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dalam proses pengecaman.

Mayat ketiga-tiga mangsa masih di Unit Forensik Hospital Taiping sejak kira-kira jam 10.30 pagi tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here