DEBAT malam tadi mendedahkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan material Perdana Menteri, dakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Ini kerana kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang tidak menyatakan apa-apa penyelesaian dalam debat beliau berhubung isu Sapura Energy Bhd.
“Dia tidak ada solution. Solution Anwar ialah retorik.
“Di akhir debat penyokong Anwar melaungkan “Reformasi”. Dibalas oleh penyokong bossku “Refor Basi”. Apa pun biar rakyat menilai,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mengulas lanjut Mohd Puad berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula tidak mahu menggunakan istilah auta terhadap hujah Anwar malam tadi.
“Najib kata retorik. Dari awal ke akhir, Anwar berulang kali menyebut “forensik audit”. Semasa PH ada kuasa, Anwar senyap pasal RCI Tabung Haji, FELDA dan FELCRA.
“Memang Anwar retoris. Dia semakin jauh daripada jawatan Perdana Menteri. Itu sebab Rafizi bertanding jawatan Timbalan Presiden. Dia beri signal, selagi ada Anwar, selagi itu PKR semakin ditolak rakyat.
“Ia menepati komen Nurul Izzah, PKR perlu dua pilihan raya lagi sebelum boleh kembali jadi kerajaan,” katanya lagi. – Malaysiapost

