Sindiket ‘nikah di Siam’ musim PKP

0
3
Gambar sekadar hiasan

Aiman Hanif

[ EKSKLUSIF ] KETIKA Malaysia masih lagi mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), satu kumpulan berpangkalan di ibu kota aktif menawarkan khidmat pakej ‘pernikahan di Siam’ ataupun Thailand.

Perkhidmatan itu ditawarkan kepada pasangan yang ‘mempunyai masalah’ untuk membina rumah tangga baik buat kali pertama ataupun berpoligami.

Wartawan Malaysiapost menyamar sebagai individu yang ingin melangsungkan perkahwinan cuba mendapatkan khidmat kumpulan berkenaan.

Pakej perkahwinan ditawarkan kumpulan itu bermula pada kadar RM8,700 sehingga mencecah RM11,700.

“Pakej yang ditawarkan itu termasuk kos pengurusan dokumen dan urusan mahkamah. Pasangan hanya akan menerima dokumen yang lengkap semuanya termasuk pendaftaran di negara ini.

“Pernikahan akan didaftarkan di pusat agama di negara jiran. Sekarang musim PKP sebab itulah kosnya agak mahal.

“Pernikahan boleh diadakan di mana-mana lokasi terpulang pada pasangan, sama ada secara tertutup ataupun terbuka,” katanya kepada Malaysiapost.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Susulan itu, kesemua pintu sempadan negara ditutup bagi sebarang aktiviti pelancongan melainkan urusan perniagaan dengan kebenaran pihak kerajaan.

Pada masa kini, Malaysia masih belum membuka pintu sempadan negara meskipun dalam PKP fasa pemulihan.

Sindiket didalangi ustaz terpengaruh

Selepas disiasat sindiket pernikahan di Siam itu didalangi oleh seorang ustaz yang agak berpegaruh.

Menurut maklumat yang diterima ustaz ini mempunyai jaringan dengan pihak berkuasa agama dan peguam bagi melancarkan urusan pendaftaran.

“Pendaftaran pernikahan ini akan dibuat di Selatan tanah air.

“Kalau untuk pernikahan saja, kosnya sekitar RM1,300 saja, tapi selebihnya untuk urusan pendaftaran dan kos mahkamah.

“Pasangan tidak perlu untuk naik turun mahkamah, kami uruskan segalanya, mereka hanya tunggu dokumen lengkap,” katanya.

Jelasnya, mereka bertujuan untuk memudahkan urusan pernikahan bagi mengelak daripada perbuatan maksiat.- Malaysiapost

Perbualan WhatsApp

Foto Kredit: Gambar hiasan

Click di sini untuk membaca [SIRI 2]