DATUK Seri Anwar Ibrahim menyokong sebarang usaha untuk membuka kembali siasatan berkait kerugian sejumlah RM30 bilion dalam ‘skandal forex’ atau tukaran wang asing membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.
Ketua Pembangkang itu berkata, tiada masalah sekiranya Peguam Negara mahu membuka semula kes itu dan terserah kepada kerajaan hari ini untuk membuat keputusannya.
Bagaimanapun kata beliau, jika siasatan dibuka, ia membabitkan pemimpin politik tertentu.
“Pendirian saya jelas, kalau esok boleh bercakap dengan Perdana Menteri, sila beritahu Peguam Negara buka siasatan terbuka. Saya tiada masalah.
“Saya tiada masalah. Saya banyak kali cakap benda ini di Parlimen.
“Ini beza saya dengan Najib (bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak). Saya tidak mahu ada mana-mana kes di mana ahli politik menggunakan jentera politik dan kerajaan untuk menutup kes dan mendera orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan diajukan Najib ketika program Debat Perdana yang disiarkan secara langsung dari Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) malam ini.
Najib bertanyakan kepada Anwar berhubung siasatan Skandal Forex yang dipandang sepi ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Skandal forex merujuk kepada kerugian tukaran wang asing berjumlah RM31.5 bilion membabitkan BNM dari 1991 hingga 1994 semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang adalah daripada Umno, maka tiada alasan agar siasatan dibuka semula.
“Jangan gunakan alasan apa yang menghalang Peguam Negara membuka semula kes,” tegasnya. – Malaysiapost

