PAS Selangor yakin dan percaya rakyat negeri itu sudah bersedia membuat perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata sebagai negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP, semua pihak bersetuju bahawa tiada jalan lain untuk menumbangkan kerajaan negeri ini melainkan penyatuan ummah.
Katanya, usaha itu dengan mengelakkan pertandingan tiga penjuru sebagaimana pernah dibuktikan kejayaannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
“PAS Selangor menghargai pengiktirafan PAS Pusat terhadap inisiatif dan komitmen Penyatuan Ummah yang diusahakan oleh PAS negeri ini dengan kerjasama Umno Negeri Selangor sebagaimana diulas dalam kenyataan media terbaru Ketua Penerangan PAS Pusat.
“Sesungguhnya ketelitian dan kesungguhan meneroka jalan politik penyatuan ummah khasnya di Selangor ini adalah selaras dengan seruan berkali-kali Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS.
“Malah ianya diperteguhkan lagi dengan kenyataan Mursyidul Am PAS bahawa Penyatuan Ummah ini adalah perintah Allah SWT, maka PAS Selangor terpanggil untuk merealisasikan usaha ini walaupun ianya bukan sesuatu yang mudah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Roslan Shahir berkata, di Selangor usaha tersebut disambut baik dan didukung Umno negeri.
Katanya, terbukti politik penyatuan ummah ini cukup digeruni PH di Selangor lantas pelbagai usaha dilancarkan untuk menggagalkannya.
“PAS Selangor yakin dan percaya rakyat negeri ini sudah bersedia membuat perubahan dalam PRU ke 15 nanti dan mengharapkan usaha bersepadu dan kesatuan politik sebagaimana terbentuk di Semenyih dapat berulang di kesemua 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN di Selangor,” katanya. – Malaysiapost

