Anwar kutuk tentera Israel bunuh wartawan Al-Jazeera

0
2

KETUA pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk kejadian pembunuhan wartawan veteran Al Jazeera, Shireen Abu Aqleh yang ditembak tentera zionis di kem pelarian Jenin di Tebing Barat, semalam.

Beliau berkata, jika wartawan menjadi sasaran anggota tentera Israel di Palestin, maka wartawan di seluruh dunia terancam.

“Mereka melaporkan dari tempat yang lama berada dalam cengkaman perang, seperti Syria dan Palestin, malah mereka juga baru-baru ini berhadapan dengan keganasan seperti di Ukrain.

“Pada masa ini, berhadapan dengan pelbagai krisis berikutan pandemik global, terutamanya yang mengancam demokrasi kita, perlindungan kebebasan kewartawanan – bersuara serta daripada kecederaan badan – dan kemerdekaan adalah yang terpenting,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, walaupun tentera Israel menafikan kejadian menimpa Shireen Abu Aqleh, namun kematian 30 rakyat Palestin yang terperangkap dalam kebakaran di sebalik serbuan yang dilakukan tentera zionis di kem pelarian itu perlu segera mendapat perhatian antarabangsa.

Katanya, penyiasatan menyeluruh mesti dilakukan untuk mencari kebenaran kejadian itu dan memberi keadilan bagi kesalahan yang dilakukan terutama mengancam hak asasi manusia dan hak pelarian.

“Saya masih ingat Shireen Abu Aqleh sebagai seorang wartawan yang tabah dan seorang yang pemurah. Saya dan (Datuk Seri Dr Wan) Azizah mendoakan beliau dan keluarga serta rakan-rakannya diberi kekuatan untuk mengharunginya.

“Dia menampilkan komitmen Al Jazeera terhadap dunia kewartawanan yang berkualiti sekali gus meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penindasan di seluruh dunia.

“Saya berdoa agar semua wartawan sentiasa selamat dan berkemampuan dalam memperjuangkan kebenaran dan integriti di seluruh dunia,” katanya.

Media melaporkan wartawan veteran Al-Jazeera, Abu Aqleh, 51, maut ditembak tentera Israel ketika membuat liputan mengenai serbuan yang dibuat di khemah pelarian dekat Tebing Barat, Palestin.

Israel sebelum ini melaporkan pihaknya mengadakan satu operasi di tapak khemah pelarian di Jenin, yang didakwa sebagai kubu kuat kepada kumpulan bersenjata Palestin di utara Tebing Barat.

Pihak berkuasa Israel mendakwa terdapat insiden berbalas tembakan ketika serbuan dibuat dan pihaknya menyiasat kemungkinan wartawan berkenaan terkena tembakan daripada pihak bersenjata Palestin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here