PAS tidak akan sesekali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya akan berusaha untuk kembali memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata pendirian itu dinyatakan sendiri oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam pertemuan mereka, semalam.
Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS itu berkata, dalam pertemuan sama beliau sempat memberi pandangan kepada Takiyuddin bahawa ‘kunci’ untuk memperkasa semula MN adalah berkait hubungan antara kedua-dua Presiden parti Umno dan PAS.
“Semalam terserempak dengan Datuk (Seri) Takiyuddin di Hotel Raia, Alor Star. Sambil bersalaman raya dan bertanya khabar beliau membisikkan kepada saya pendirian PAS tidak akan sesekali bekerjasama dengan PH dalam apa bentuk sekalipun.
“Beliau juga menegaskan akan terus mengusahakan kembali Muafakat Nasional.
“Saya beri buah pandangan kepada beliau (Takiyuddin) anak kuncinya ialah hubungan antara dua Presiden kedua parti utama Umat Melayu Islam ini, kerana khemah besar sebenar politik Malaysia adalah kelompok Umno dan PAS,” katanya menerusi Facebook.
Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata, Takiyuddin turut bersetuju dengan pandangan berkenaan.
“Beliau ‘salam penumbuk’ dengan saya tanda setuju. Saya juga memaklumkan kepada beliau bahawa saya akan sentiasa menyokong usaha untuk memperkasakan kembali Muafakat Nasional untuk meneruskan usaha murni penyatuan bersejarah ahli dua parti yang besar ini.
“Menyatukan umat Islam adalah tanggungjawab bersama semua pimpinan Islam. Ia tidak terhad kepada agihan kerusi pilihanraya semata-mata,” katanya.
Sebelum ini, Takiyuddin menyifatkan penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan PAS dan Umno adalah sebagai formula terbaik.
Beliau berkata, ini kerana penyatuan ummah itu bukan hanya terhad kepada parti-parti tertentu sahaja, sebaliknya ia boleh disertai oleh mana-mana parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam itu.
“Oleh sebab itu, PAS masih lagi menyeru supaya penyatuan ummah ini membabitkan semua pihak terutamanya parti-parti Melayu Islam, parti bumiputera dan juga parti bukan Melayu yang tidak ekstrem sebagaimana yang disebut Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya. – Malaysiapost

