Nahas dekat Terowong Menora: Polis tahan pemandu treler bawa muatan besi

0
2

POLIS menahan seorang pemandu treler bagi membantu siasatan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua treler yang mengorbankan lima mangsa di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, selepas Terowong Menora, Kuala Kangsar, tengah malam tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler yang membawa muatan mozek datang dari arah selatan menghala ke utara sedang memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri laluan dari KM 246 hingga 244.4 ditutup bagi penyelenggaraan jalan.

“Pada masa sama, kereta jenis Honda City sedang mengekori di belakang treler itu dengan memperlahankan kenderaan namun dengan secara tiba-tiba datang treler membawa muatan besi pagar yang memandu dari arah sama di belakang kereta itu tidak sempat membrek dan mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan itu.

“Treler itu kemudian menyeretnya ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler muatan mozek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata akibat daripada kemalangan itu, kereta yang dinaiki lima lelaki dipercayai pelajar berusia 19 hingga 23 tahun terbakar sebelum merebak ke bahagian kepala treler di belakangnya.

“Pemandu dan empat orang penumpang dalam kereta itu tersepit dan tidak sempat menyelamatkan diri hingga menyebabkan kesemua mereka rentung dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Bomba kemudian berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dan rentung sebelum dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Kuala Kangsar hari ini,” katanya.

Sementara itu, media melaporkan, lima mangsa yang terkorban itu adalah pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Mereka adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, berasal dari Chukai Terengganu.

Selain itu, turut terkorban, Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak.

Difahamkan, tiga daripada mangsa adalah pelajar ijazah sarjana muda manaka dua lagi pelajar diploma. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here