Sekarang masa terbaik adakan PRU-15 – Tok Mat

0
2

UMNO merasakan sekarang adalah waktu yang terbaik untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun keputusan mengenainya adalah ditangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pandangan mengenai waktu yang sesuai diadakan PRU-15 itu sudah diberikan ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang lalu.

Menurutnya, tetapi ia terpulang kepada Perdana Menteri kerana dalam Perlembagaan negara satu-satunya individu yang boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen adalah Perdana Menteri.

“Saya pasti Perdana Menteri mempunyai pandangan sendiri dan pertimbangan lain. Namun bagi parti sekarang adalah masa terbaik.

“Itu bagi parti, tetapi Perdana Menteri mungkin ada pertimbangan lain, mungkin menunggu memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang tamat pada 31 Julai ini.

“Perdana Menteri sudah membuat janji dan ingin mengotakannya. Jadi kita tunggu sehingga 31 Julai ini dan selepas itu Umno pasti akan membincangkannya dengan Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, walaupun Perdana Menteri adalah Naib Presiden Umno tapi ia adalah dua entiti yang berbeza.

“Benar dia adalah Naib Presiden Umno tetapi dalam masa sama dia adalah Perdana Menteri dan mempunyai pertimbangan sendiri.

“Jadi kita tidak akan beri tekanan kepadanya, kerana kita faham apa jua pertimbangan dan keputusan yang beliau buat.

“Tapi bagi Umno sekarang adalah masa yang terbaik di mana pihak lawan berada dalam keadaan tidak ketentuan,” tegasnya.

Ditanya mengenai hubungan antara Umno dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN), beliau menasihatkan supaya perkara itu diputuskan oleh parti.

Menurutnya, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah memberi pandangan mengenai perkara itu dan ia akan dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik dan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bersama dengan pandangan pihak lain.

“Saya harap individu-individu baik daripada Umno atau daripada mana jua..biar parti buat keputusan jangan buat andaian-andaian sangat nanti kelam kabut jadinya.

“Usah buat kelam kabut sangat, bila parti buat keputusan nanti ia adalah keputusan untuk kebaikan parti,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama yang dikatakan ingin dibentuk oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersama Pakatan Harapan (PH), Mohamad berpandangan kerjasama itu hanya bersifat individu dan bukan keputusan parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here