Pemilihan parti sebelum PRU adalah “membunuh diri’ – Tok Mat

0
3

PINDAAN Perlembagaan Umno dalam Fasal 10.16 hanya membabitkan tambahan klausa berhubung pemilihan parti, tegas Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, klausa sebelum ini adalah parti mempunyai tempoh 18 bulan selepas tamat tempoh tiga tahun pemilihan parti diadakan.

“Sekarang ini kita ingin menambah klausa ‘atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang mana datang terkemudian’.

“Kita tambahbaik, kita tak hapuskan Fasal 10.16. Pemilihan parti tetap tiga tahun, tetapi ada sub klausa tambahan 18 bulan dan sekarang kita tambah lagi dengan klausa atau dalam tempoh enam bulan selepas setiap PRU peringkat pusat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, secara formal pindaan itu perlu diluluskan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada hujung minggu ini bagi memenuhi kehendak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Menjelaskan lebih lanjut mengenai langkah yang diambil Umno itu, Mohamad menegaskan, Umno tidak mampu berpecah belah disebabkan pemilihan parti sebelum menghadapi PRU.

“Dalam pemilihan parti memang akan ada perpecahan, perebutan kuasa dan kalau diadakan pemilihan sebelum PRU pastinya jentera diperingkat akan kelam kabut apabila ada calon yang kalah pemilihan parti.

“Jadi kita kena struktur semula jentera parti sedangkan pada masa itu kita tiada masa untuk melatih dan menyiapkan jentera. Itu satu perkara, perpecahan yang wujud satu lagi yang perlu ditangani.

“Untuk menghadapi PRU, itu adalah suatu keadaan ‘menbunuh diri’. Dalam Islam tidak boleh bunuh diri..haram, jadi jangan bunuh diri..hadapi pilihan raya terlebih dahulu, itu keutamaan kita,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan parti selepas pilihan raya tidak akan merisikokan parti hilang kuasa dalam pentadbiran kerajaan.

Sementara itu, ditanya sama ada berlaku kemungkinan pindaan perlembagaan parti berkenaan tidak mendapat kelulusan perwakilan parti atau pun ROS, beliau berpendapat ia tidak akan berlaku.

“Saya tidak nampak kenapa ia tidak diluluskan oleh perwakilan kerana ia hanyalah memenuhi prosedur ROS. Manakala ROS pula hanya memantau perjalanan parti dan tidak boleh menguasai parti.

“Jadi saya rasa tak ada apa-apa halangan daripada ROS untuk meluluskan pindaan yang diluluskan dalam EGM Umno,” katanya yang turut memaklumkan sudah mengarahkan keputusan pindaan itu kelak dihantar ke ROS pada 17 Mei ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here