Pinda pemilihan parti demi kemenangan Umno – Tok Mat

0
2

PERLEMBAGAAN Umno boleh diubah suai mengikut keadaan semasa demi memastikan parti itu terus mantap terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU), kata Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, pindaan yang ingin dilaksanakan termasuk meminda tempoh pemilihan parti bukanlah untuk menyelamatkan kedudukan kepimpinan parti, tetapi untuk memastikan Umno menang dalam pilihan raya yang akan datang.

“Kepada perwakilan Umno diingatkan untuk datang pada 15 haribulan ini (undi usul pindaan perlembagaan). Penting sebab kita mengikut prosedur yang ditetapkan ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) dengan kita memerlukan dua pertiga daripada seluruh jumlah perwakilan yang disahkan.

“Perlu hadir untuk kita meluluskan apa yang telah dibahas dan diluluskan sebulat suara tempoh hari semasa Perhimpunan Agung Umno iaitu meminda Artikel 10.16 untuk membolehkan Umno mengadakan pemilihan parti dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

“Bukan saya nak lama-lama lagi jadi timbalan presiden..bukan saya nak tambah jangka hayat saya, tetapi kita sayangkan parti kita,” katanya ketika berucap merasmikan Wacana Aspirasi Umno ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ sempena Ulang Tahun Umno ke-76, hari ini.

Beliau mengingatkan Ahli Umno agar jangan ada rasa cemburu hati dengan langkah meminda perlembagaan parti itu, kerana ia dilakukan semata-mata demi parti.

“Luka pemilihan 2018 masih berdarah lagi, belum kering lagi. Pemilihan parti sedikit sebanyak akan melukakan parti.

“Apakah kita nak menghadapi PRU iaitu keutamaan kita dengan keadaan parti kita kucar kacir. Tetapi bagi saya bersama presiden parti dan rakan-rakan tidak akan benarkan parti ini menghadapi PRU dalam keadaan kucar kacir,” tegasnya.

Menurutnya, apa yang diinginkan dan diutamakan adalah Umno menghadapi pilihan raya dalam keadaan mantap sebagai satu pasukan dan memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Siapa nak duduk diatas sana..lepas badan nanti siapa nak mengepalai itu terpulang kepada parti..yang penting Umno merampas semula Putrajaya dalam PRU-15, itu penting dan keutamaan kita.

“Itu sebab ramai yang hairan, mengapa ‘Top Five’ dan Majlis Tertinggi (MT) buat keputusan baru-baru ini tiada pemilihan parti. Kita nak supaya parti mantap, jangan dilihat parti ini berpecah pecah,” katanya.

Beliau berkata, apabila Umno menang maka kemenangan bagi orang Melayu dan jika kalah akan jadilah sebagaimana 22 bulan sebelum ini.

“Bila parti menang, Melayu menang..bila Umno menang Melayu menang. Kalau Umno kalah PRU-15..jadilah sebagaimana 22 bulan kita terhina hidup di tanah air sendiri, menjadi pedagang di tanah air sendiri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here