Sukan SEA Hanoi: Atlet kurash umum bersara lepas raih gangsa buat negara

0
2

ATLET kurash negara Mohamed Ezzat Mohamed Noor yang memenangi pingat gangsa dalam acara Kurash 90 kilogram (kg) di temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam semalam, mengumumkan persaraannya.

Menurutnya, sukan SEA kali ini adalah kejohanan terakhirnya dan akan memulakan episod baru dalam kerjayanya.

“Ia merupakan satu perjalanan yang panjang, mula berlatih dan bertanding sejak 2002. Selepas 20 tahun, kini tiba masanya untuk beralih ke bab seterusnya.

“Sukan Sea kali ini akan menjadi pertandingan terakhir saya…tetapi saya tidak akan berhenti berlatih,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Mohamed Ezzat turut mengucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan, persatuan Kurash Malaysia, Persatuan Judo Johor, Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri Johor yang banyak membantunya.

“Tidak lupa pada pasukan, pasangan berlatih dan rakan-rakan Judo SUKMA Johor yang membantu dalam latihan,” katanya.

Selain gangsa pada temasya kali ini, Mohamed Ezzat pernah meraih pingat gangsa dalam acara judo, kategori 81 hingga 90kg dalam Sukan SEA Indonesia pada 2011. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here