BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas kenyataan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa mengenal pasti kewujudan 54,000 pemilih yang meragukan dalam parti itu.
Najib yang turut menggelar Rafizi sebagai ‘Raja Formula Songsang’, berkata situasi sama pernah berlaku apabila pembangkang menghasut rakyat melakukan protes jalanan berhubung tuduhan wujud 40,000 pengundi hantu dalam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.
“Raja formula songsang dakwa ada 54,000 pengundi hantu dalam PKR.
“Dulu, mereka juga yang menipu dan menghasut rakyat untuk turun jalanraya untuk protes kononnya wujud 40,000 pengundi hantu semasa PRU13.
“Rupanya 40,000 pengundi hantu yang mereka tipu ada dalam parti mereka sendiri. Malah naik lagi ke 54,000,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Najib turut menyarankan Rafizi mengadakan semula ‘himpunan blackout’ untuk memprotes dakwaan berkenaan.
“Takpe. Najib cadang kamu buat lagi himpunan blackout. Siap pakai t-shirt ‘Democracy is dead’ dan turun jalanraya untuk hasut ahli parti PKR.
“Lepas itu, boleh lah jual t-shirt dan cap rasmi untuk kaut untung,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Rafizi mendakwa pihaknya mengenal pasti terdapat 54,000 daftar pemilih meragukan di seluruh negara menjelang Pemilihan PKR.
Katanya, surat aduan rasmi telah dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada 12 April lalu agar memastikan anggota parti yang tersenarai dalam kelompok berkenaan tidak dibenarkan mengundi secara terbuka.
Beliau berkata, perkara itu dikenal pasti pihaknya menerusi penemuan senarai data melibatkan 1,500 nama daftar pemilih yang didaftarkan hanya bersandarkan satu nombor telefon semata-mata. – Malaysiapost

