MALAYSIA berkesempatan mengadakan perbincangan dua hala bersama Serbia, Oman dan Sudan bagi memperkasa sektor penerbangan sempena ‘Future Aviation Forum 2022’ yang berlangsung di Arab Saudi.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, permohonan pengecualian visa ke Malaysia bagi tujuan merancakkan sektor penerbangan kedua-dua negara turut dibangkitkan dalam perbicangan dua hala bersama Serbia.
“Dalam pertemuan dengan Menteri Pembinaan, Pengangkutan, dan Infrastruktur Republik Serbia, Tomislav Momirovic, kami turut membincangkan mengenai permohonan pengecualian visa ke Malaysia bagi tujuan merancakkan sektor penerbangan Malaysia-Serbia.
“Mereka memohon agar kedua-dua syarikat penerbangan Malaysia-Serbia dapat bekerjasama dan mewujudkan ‘code share flight’ di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Sementara itu, Ka Siong berkata, dalam sesi perbincangan dua hala bersama Presiden Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Oman, Naif Ali Al Abri, kedua-dua negara berhasrat untuk merancakkan lagi industri penerbangan masing-masing.
“Beliau menyatakan minat dan hasrat untuk merancakkan sektor penerbangan menerusi penambahan lebih banyak lagi penerbangan di kedua-dua negara Malaysia-Oman.
“Pada masa kini, hanya terdapat satu penerbangan sahaja antara Malaysia ke Muscat Oman dalam seminggu,” katanya.
Jelasnya lagi, forum yang sama juga membuka peluang untuk beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Sudan, Yassan Ibrahim Yassin Abdelhadi yang bertanggungjawab ke atas Pihak Berkuasa Penerbangan Awam negara itu. – Malaysiapost

