JANIN lelaki cukup sifat disyaki dibuang dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di kawasan Danau Kota, Setapak ditemui petang semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 4.57 petang semalam memaklumkan penemuan janin berkenaan.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dan Forensik Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur menjalankan siasatan di tempat kejadian.
“Janin lelaki cukup sifat dengan anggaran usia enam hingga lapan bulan itu disyaki dibuang dalam mangkuk tandas di stesen minyak tersebut.
“Janin tersebut telah dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun maksimum atau denda atau kedua-duanya.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Kuala Lumpur 03-21159999 atau balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

