Patuh keputusan parti pilih Sulaiman KM – Mohd Ridhwan

0
1

UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berpegang teguh kepada keputusan pucuk pimpinan parti melantik Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13. 

Ketua Bahagiannya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, pendirian teguh itu berdasarkan janji yang dilafazkan jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu. 

Menurutnya, ianya selaras ucapan oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum pilihan raya, dan sudah pun dipersetujui semua ketua bahagian.

“Berhubung isu memaksa dan mendesak Sulaiman meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri, perkara itu adalah di luar pengetahuan saya. 

“Situasi ini tidak sepatutnya berlaku kerana selepas rakyat memberi mandat kepada BN untuk kembali memerintah negeri ini, kita seharusnya memberi tumpuan untuk menunaikan janji-janji dalam manifesto BN.

“Lebih penting tumpuan kita ke arah menyiapkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi,” katanya dipetik Utusan Online. 

Khabar angin bertiup kencang sejak minggu lalu yang mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat perletakan jawatan dalam masa terdekat, dianggap sengaja diadakan pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, berkata, lima ketua bahagian di negeri ini sebulat suara mempertahankan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu itu terus kekal memegang jawatan tersebut sehingga habis penggal.

Dalam pada itu, Mohd. Ridhwan menegaskan, jika benar keadaan itu berlaku, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Saya tetap berpendapat, sewajarnya Sulaiman terus kekal menerajui pentadbiran negeri ini sehingga habis penggal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here