PM tiba di London

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat tiba di London hari ini bagi menghadiri beberapa acara di negara itu.

Ismail Sabri berkata, beliau singgah di London untuk berkunjung ke pameran ‘Tenun Pahang: Weaving Hope’ serta melawat Keluarga Malaysia bagi meraikan Aidilfitri bersama mereka sebelum berangkat ke Washington, untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat.

“Alhamdullilah, selamat tiba di Lapangan Terbang Luton, London.

“Saya dan delegasi singgah di London sebelum meneruskan perjalanan ke Washington, Amerika Syarikat untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat.

“Di London, saya akan berkunjung ke pameran ‘Tenun Pahang: Weaving Hope’ untuk memperkenalkan produk tenunan tempatan ke persada antarabangsa.

“Saya juga akan bertemu dengan Keluarga Malaysia di London dalam Majlis Sambutan Aidilfitri,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, media melaporkan Ismail tiba di London awal pagi tadi.

Ketibaan Perdana Menteri di Lapangan Terbang Luton pada 2 pagi (9 pagi waktu Malaysia) disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom Zakri Jaafar.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Zahid Rastam serta ketua-ketua jabatan dan agensi Malaysia yang berpejabat di London menyambut ketibaan Ismail Sabri di hotel penginapannya.

Perdana Menteri, yang dalam perjalanan ke Washington DC bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat, dijadual melawat Pameran Tenun Pahang: Menyulam Harapan yang diadakan sempena London Craft Week di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, di negara itu.

Beliau turut dijadual menghadap Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang berada di London bagi pameran yang julung kali diadakan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here