VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan tindakan pemimpin Umno yang berpandangan ‘jangan benci dan berdendam’, serta menyeru kepada sifat keterbukaan agar diterima kembali ‘katak-katak politik’ sebagai sesuatu yang ‘hebat’.
Menurutnya, hebatnya Umno kerana akan sentiasa ada pemimpin yang kononnya bersifat terbuka dan menyeru kepada perpaduan hingga sanggup melupakan kezaliman dan pengkhianatan terhadap parti dan rakan sendiri.
“Setiap pemimpin berhak untuk menyuarakan pendapatnya ikut fahaman dan nilai sendiri.
“Ada yang begitu sifat sungguh terbuka, menegaskan kepada ahli-ahli parti supaya jangan ‘benci dan berdendam’.
“Saya tidak benci dan berdendam tapi saya benci kepada kezaliman mereka yang berkuasa. Walaupun mereka berkuasa hanya sementara, tapi sempat mereka berlaku zalim kepada Umno dan pemimpin parti,” katanya di Facebook, hari ini.
BACA LAGI: Ku Li perlu perjelas dakwaan Umno terima RM40b setiap tahun dari Petronas
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, yang berpandangan Umno tidak boleh berdendam terhadap mereka yang pernah keluar parti, sebaliknya perlu bersikap terbuka dan memaafkan kekhilafan individu tersebut.
Shahrir berkata, beberapa bahagian dan negeri Umno diheret ke mahkamah atas tuduhan menerima ‘duit haram’, namun hampir semua kes berkenaan dimenangi oleh parti kerana tidak dapat dibuktikan duit itu adalah ‘duit haram’.
“Tetap tidak berpuashati, pendakwa raya merayu terhadap keputusan hakim itu. Apabila sudah dibawa ke mahkamah, belanja guaman tetap kena disediakan,” katanya.
Menurutnya, itu di peringkat parti dan di peringkat individu pula, beliau turut didakwa, manakala yang lain terlepas dari pendakwaan kerana mereka ‘melompat’ keluar dari parti yang telah ditaja dan sokong mereka sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Kini, atas asas ‘jangan benci dan berdendam’, seorang ahli majlis tertinggi UMNO menyeru kepada sifat keterbukaan agar diterima kembali ‘katak-katak politik’ ini yang sanggup mengkhianati parti semasa parti tidak berada dalam kerajaan.
“Mungkin, dulu sahaja rakan kerana rakan yang dulu itu sudah menjadi ‘kluster mahkamah’ dan ‘kluster orang yang kalah’. Sebaliknya, mereka ‘kluster orang menang’. Jadi kena bersikap lain dulu, lain sekarang.
“Takkan itu yang dimaksudkan sebagai ‘solidarity’ dalam parti,” katanya. – Malaysiapost

