Isu teknikal kapal terbang diperbaiki – Ka Siong

0
3

KEMENTERIAN Pengangkutan Malaysia (MOT) meminta orang ramai untuk kekal tenang dan terus memberi maklum balas terperinci kepada syarikat penerbangan bagi menyelesaikan sebarang isu operasi yang berlaku.

Menterinya Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, berkata setakat hari ini, semua aduan berkaitan penjadualan semula dan kelewatan penerbangan telah dipulihkan.

Beliau berkata, demi kepentingan keselamatan dan pematuhan teknikal kepada peraturan penerbangan awam serta keselesaan penumpang, MOT telah mengarahkan syarikat penerbangan untuk memantau dengan lebih baik isu teknikal.

Katanya, syarikat penerbangan perlu memantau isu berkaitan perkhidmatan penerbangan dan menyampaikan maklumat kepada penumpang bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi.

“Sejak beberapa hari lalu, MOT dan agensi berkaitan penerbangan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menerima dan menyiasat laporan penumpang di beberapa saluran.

“Ini termasuk media sosial yang memberi maklum balas mengenai pengalaman mereka menggunakan perkhidmatan penerbangan.

“Kerajaan bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka dan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dengan syarikat penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, setelah melakukan rundingan dan siasatan, syarikat penerbangan terbabit telah diarahkan untuk segera menyelesaikan isu teknikal yang dialami oleh para penumpang.

“Kebanyakan aduan yang dibuat adalah berkait dengan trafik penumpang yang lebih tinggi daripada biasa semasa musim perayaan sehinggakan syarikat penerbangan terpaksa menggunakan sepenuhnya pesawat mereka untuk memenuhi permintaan.

“Pesawat yang menghadapi masalah teknikal juga telah ‘direhatkan’ daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan yang lebih teliti,” katanya.

Ka Siong berkata, MOT dan agensi di bawahnya akan terus memantau setiap perkhidmatan penerbangan untuk memastikan prosedur penyelenggaraan dan isu teknikal dipatuhi tanpa kompromi.

“Pihak berkuasa juga telah menegur pihak yang terlibat untuk memastikan pematuhan peraturan teknikal, ekonomi dan keselamatan serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengendali yang gagal berbuat demikian.

“Adalah penting bagi syarikat penerbangan untuk menambahbaik saluran komunikasi diantara penumpang dan pelanggan bagi memastikan mereka menerima maklumat berhubung status penerbangan mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here